copy and paste dari blog Nasrudin bin Hassan at Tantawi
Saya pernah 2 atau 3 kali dikunjungi oleh rakan - rakan dari Hizbu Tahrir . Sebahagiannya ada yang datang dari Kuala Lumpur bagi berbincang mengenai PAS dan Hizbu Tahrir bersama idealogi perjuangan masing - masing .
Pada waktu itu , saya tidak mempunyai kesempatan selesa untuk memberi penjelasan panjang lebar sehinggalah kini , saya lihat rakan - rakan Hizbu Tahrir masih mensasarkan ahli PAS .
Ramai sahabat ahli PAS bertemu saya dan mula memuji - muji Hizbu tahrir , sedang mereka masih baru dengan perjuangan Islam . Justeru itu saya rasa terpanggil untuk memberi ulasan yang ditujukan khas kepada sahabat - sahabat Ahli PAS terutamanya pemuda PAS .
Saya telah meminta sahabat karib saya Al fadhil Ustaz Ahmad Adnan Fadhil ( Ketua DPPN Perlis ) untuk turut sama membantu meneliti perkara ini dan mengemukakan pandangan untuk membuat ulasan dan penjelasan terhadap isu Hizbu Tahrir .
HIZBU TAHRIR ?
Tahun 1924 adalah tahun yang amat gelap dalam lembaran sejarah umat Islam. Pada tahun tersebut runtuhnya Institusi Khilafah yang merupakan Institusi Pemerintahan Islam yang telah menguasai dunia lebih 1000 tahun. Institusi yang diasaskan oleh Rasulullah s.a.w. itu dan bertukar tangan dari satu dinasti ke satu dinasti hinggalah kepada dinasti yang terakhirnya iaitu Turki Utsmaniyah, telah lenyap dari alam ini hasil perancangan rapi anasir-anasir jahat Yahudi dan Salibiyah Barat.
Dendam kesumat Yahudi dan Salibiyah berkurun-kurun lamanya akhirnya mencapai kejayaan apabila mereka berjaya melenyapkan penguasaan umat Islam ke atas dunia dengan kehancuran Institusi Khilafah itu. Bukan kerana serangan bersenjata mereka berjaya, tetapi hasil dari serangan pemikiran atau ghazwul Fikri. Ghazwul fikri yang mereka lancarkan berjaya mengikis semangat jihad dari jiwa dan hati sanubari umat Islam hingga tidak ada lagi pada mereka kekuatan untuk mempertahankan Institusi pemerintahan Islam itu.
Keruntuhan Institusi Khilafah tersebut membawa kepada penjajahan yang amat hebat kuasa-kuasa Impirealis Barat ke atas dunia Islam. Empayar umat Islam yang luas, yang asalnya bernaung di bawah satu pemerintahan iaitu pemerintahan al-Khalifah, setelah ditakluki dibahagi-bahagikan kepada negeri-negeri kecil. Semangat asabiyah dan perkauman ditanam dalam jiwa-jiwa umat Islam. Idealisme perjuangan yang berteraskan Islam telah ditukar kepada semangat perjuangan sempit berteraskan asabiyah dan perkauman. Umat Islam tidak lagi mementingkan Islam dan ummat, tetapi mementingkan bangsa dan tanah-air sendiri.
Umat Islam sejurus selepas keruntuhan Khilafah tersebut berada di dalam suasana yang amat membingungkan. Mereka hilang arah-tuju dan kekuatan untuk berhadapan dengan serangan bertubi-tubi kuasa-kuasa Barat berbentuk serangan pemikiran dan serangan bersenjata. Kalau dahulunya saf mereka dipimpin dan disatukan oleh Institusi Khilafah apabila berhadapan dengan serangan musuh-musuh mereka, tetapi kini Institusi tersebut telah lenyap. Umat Islam ibarat anak yang kematian ibu dan bapanya, tiada tempat untuk mengadu dan bergantung. Ribut dan badai yang melanda mereka tidak pernah menimpa generasi-generasi sebelumnya.
Umat yang dalam kebingungan itu lalu diselamatkan Allah S.W.T. dengan kehadiran tokoh-tokoh Islam seperti Jamaludin Al-Afghani, Syeikh Muhammad Abduh, Syeikh Rasyid Ridha, Syeikh Badi'uzzaman Said Nursi, Syeikh Mustafa Sobri, Imam Asy-Syahid Hasan Al-Banna, Imam Abul 'Ala Al-Maududi, Syeikh Waliyullah Ad-Dahlawi dan sebagainya. Mereka adalah ulama'-ulama' Islam yang muncul sebaik sahaja terjadi peristiwa keruntuhan Institusi Khilafah iaitu di saat-saat umat Islam amat menagihkan pemimpin-pemimpin yang dapat membimbing dan menentukan hala-tuju mereka.
Dengan kesedaran Tajdid yang kuat, ulama'-ulama' ini menubuhkan Jama'ah-Jama'ah Islam dan mengajak umat Islam bersama-sama bersatu di dalam jama'ah untuk berjihad menegakkan kembali kedaulatan Islam dan mengembalikan semula Instiusi Khilafah yang runtuh itu.
Di Timur Tengah gerakan Tajdid yang paling berpengaruh dan antara terawal ialah yang dipelopori oleh Imam Hasan Al-Banna. Beliau mewarisi perjuangan yang diasaskan oleh tokoh-tokoh sebelumnya iaitu Jamaluddin Al-Afghani, Syeikh Muhammad Abduh dan juga Syeikh Rasyid Ridha. Tokoh-tokoh inilah yang membentuk aspirasi perjuangan beliau.
Tindakan bijak Imam Hasan Al-Banna ialah menghimpun pendokong-pendokong Islam dalam satu saf yang kemas dan tersusun. Beliau merasakan umat Islam tidak akan berjaya berhadapan dengan serangan-serangan kuasa Barat yang hebat itu jika mereka bergerak sendirian. Kerana itulah, beliau telah mengasaskan Jama'ah Ikhwan Muslimun pada tahun 1928 (empat tahun selepas kejatuhan Institusi Khilafah).
Imam Hasan al-Banna menyedari bahawa kegagalan umat Islam mempertahan Institusi Khilafah adalah berpunca dari hilangnya kefahaman agama dan semangat jihad dari aqal dan hati sanubari mereka. Kerana itulah, penumpuan pertama beliau ialah membina semula kefahaman Islam yang benar dalam pemikiran umat Islam dan membangunkan kembali semangat jihad dalam jiwa dan hati sanubari mereka.
Hizbu Tahrir
Sejarah di atas sengaja kita ungkitkan kembali supaya umat Islam yang hidup hari ini mengetahui hakikat sebenar bagaimana bermulanya gerakan tajdid Islami di saat-saat awal keruntuhan Khilafah. Gerakan Tajdid terus bermula sebaik sahaja Institusi Khilafah mengalami keruntuhan iaitu di awal kurun ke 20, bukan bermula dari tahun 50 an.
Sejarah tersebut menyangkal dakwaan pendokong-pendokong Hizbu Tahrir yang cuba berbangga kononnya Hizbu Tahrirlah pelopor gerakan menghidupkan kembali Institusi Khilafah, sedangkan realiti sebenarnya Hizbu Tahrir hanya wujud 20 tahun setelah kejatuhan Institusi Khilafah. Kalau benar Hizbu Tahrir adalah pelopor, kewujudannya tentulah lebih awal dari jama'ah-jama'ah yang lain termasuklah Ikhwan Muslimun. Atau sekurang-kurangnya ia seangkatan dengan jama'ah-jama'ah tersebut.
Dari segi usia, sebenarnya Hizbu Tahrir lebih muda dari PAS. PAS bermula sejak tahun 1948 lagi dengan nama Hizbul Muslimin yang ditubuhkan pada 14 Mac 1948 di Gunung Semanggol. Perjuangannya ketika itu ialah sebagai gerakan dakwah dan pembebasan tanah air dari penjajah Inggeris yang didokongi oleh para ulama' Islam. Akan tetapi Hizbul Muslimin telah diharamkan oleh British lima bulan kemudiannya iaitu pada bulan ogos 1948.
Kita tidak tahu apa faktor sebenar yang menyebabkan pengasas Hizbu Tahrir dan juga para pendokongnya tidak dapat memberi sokongan kepada Jama'ah yang sedia ada di Timur Tengah atau di negara-negara umat Islam yang lain di dunia hari ini? Kenapa mereka tidak memberi wala' kepada Ikhwan di Mesir, atau kepada Jama'at Islami di India, atau kepada Refah di Turki atau kepada PAS di Malaysia..? Apa perlunya mereka menubuhkan suatu Jama'ah yang baru jika matlamatnya adalah sama iaitu untuk mendaulatkan Islam dan mengembalikan Institusi pemerintahan Islam (al-Khilafah) di atas muka-bumi ini.
Hizbu Tahrir sebenarnya telah memilih untuk mewujudkan perpecahan dalam saf kaum muslimin dari mementingkan kesatuan mereka. Sudahlah umat Islam yang serba kelemahan terpaksa berhadapan dengan musuh-musuh mereka yang lebih kuat dari segenap sudut, tiba-tiba muncul pula Hizbu Tahrir yang bertindak memecahkan kesatuan mereka. Dahulunya Hizbu Tahrir bertindak mengganggu perjalanan gerakan Islam di Timur Tengah, sekarang ini ia cuba mengganggu perjalanan gerakan Islam di sebelah Asia Tenggara pula.
Di Malaysia, para pendokong Hizbu Tahrir lebih berminat memburuk-burukkan PAS dan mengkritik PAS kepada ahli-ahlinya. Mereka menghasut ahli-ahli PAS supaya meninggalkan PAS dan bergabung dengan Hizbu Tahrir yang kononnya –kata mereka- lebih Islamik perjuangannya dari PAS. Kenapa Hizbu Tahrir tidak tampil berdakwah kepada pendokong-pendokong UMNO yang ternyata sebuah parti secular? Kenapakah Hizbu Tahrir memberi tumpuan kritikannya kepada PAS, tidak kepada UMNO?
Kenapa tidak berjuang di Palestin?
Sebagai jama'ah yang lahir di al-Quds, Palestin, sebenarnya Hizbu Tahrir telah mempunyai kewajipan yang besar iaitu berjihad melawan Yahudi yang hari ini masih lagi membelenggu bumi Palestin dan umat Islam di Palestin. Namun kita tidak mendengar sebarang sumbangan Hizbu Tahrir di sana.
Adakah Hizbu Tahrir menganggap perjuangan membebaskan Baitul-Maqdis dan bumi Palestin itu tidak wajib dan tidak ada nilai di sisi Islam? Adakah pada pandangan Hizbu Tahrir darah umat Islam Palestin halal semata-mata kerana dunia hari ini tidak ada Khalifah untuk mengistihar jihad? Wahai para pendokong Hizbu Tahrir! Sedarilah bahawa medan perjuangan kamu lebih utama di bumi Palestin. Bersama-samalah dengan HAMAS, JIHAD, HIZBULLAH dan IKHWAN berjuang dan berjihad menghadapi Yahudi/Israel bagi membebaskan bumi Palestin dan al-Quds.
Di Malaysia ini, berilah kepercayaan kepada PAS untuk memperjuangkan Islam. Biarlah kami berlawan dengan UMNO di sini. Pulanglah kamu berhadapan dengan Yahudi/Israel di sana. Apabila kamu berjaya di Palestin di mana al-Quds dapat dibebaskan dan Negara Israel dapat diruntuhkan, maka pada ketika itu datanglah membantu kami pula di Malaysia ini. Kami Insya Allah akan menerima kedatangan kamu. Adapun sekarang, kami tidak dapat menerima kedatangan kamu di sini, kerana kamu meninggalkan perjuangan kamu di sana. Untuk apa datang ke sini bagi memikul kewajipan baru, sedangkan di atas bahu-bahu kamu sudah ada kewajipan yang perlu kamu tunaikan di tanah air kamu…Pulanglah wahai Hizbu Tahrir…Umat Islam Palestin sedang menangis menanti kamu…
Demokrasi dan pilihanraya
Di antara faktor Hizbu Tahrir menghujum (menyerang) jama'ah-jama'ah yang lain (Ikhwan, PAS dan sebagainya) ialah keterlibatan keterlibatan dengan pilihanraya. Bagi mereka pilihanraya adalah tidak syar'i kerana ia datang dari sistem Demokrasi yang merupakan sistem jahiliyah pada zaman ini.
Cara mereka menyerang jama'ah-jama'ah yang lain dalam hal ini menggambarkan seolah-olah pada anggapan mereka, Hizbu Tahrir sahaja yang mempunyai ilmu, jama'ah-jamaah lain semuanya jahil belaka, dalam kumpulan mereka sahaja ada ulama', di dalam jama'ah lain tidak ada ulama', mereka sahaja yang ada kelayakan untuk berijtihad, mereka sahaja yang ikhlas berjuang……
Demokrasi sememangnya bukan berasal dari Islam. Ia adalah salah satu dari sistem jahiliyah moden. PAS sebagaimana Ikhwan dan juga jama'ah-jama'ah yang lain (Jama'at Islami, Refah dan sebagainya) tidak pernah menyatakan ia beriman dengan Demokrasi. PAS tidak menganut fahaman demokrasi. Begitu juga, PAS tidak memperjuangkan ideologi Demokrasi.
Apa yang berlaku ialah PAS (begitu juga jama'ah-jama'ah yang lain) memanfaat beberapa peraturan dan amalan yang ada dalam sistem demokrasi sebagai salah satu medan baginya untuk mencapai tujuannya iaitu mewujudkan sebuah negara dan pemerintahan Islam di Malaysia. Amalan Demokrasi yang dimanfaatkan itu antaranya ialah amalan Pilihanraya dan kebebasan untuk menyatakan pandangan kepada rakyat.
Di dalam sistem jahiliyah dan undang-undang jahiliyah terdapat beberapa kesempatan dan peluang yang boleh diambil manfaat untuk menegakkan Islam dan mempertahankan Islam. Cara ini telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya iaitu melalui peraturan al-himayah dan al-jiwar (memberi perlindungan kepada orang-orang yang lemah dan dizalimi).
Rasulullah s.a.w. sendiri memanfaat peraturan tersebut dengan mengambil al-Himayah dari bapa saudaranya (Abu Thalib). Saidina Abu Bakar juga pernah mengambil al-Himayah dari Ibnu Al-Daghnah. Terdapat beberapa sahabat lagi yang memanfaatkan perturan tersebut. Kedua perturan tersebut (yakni al-Himayah dan al-Jiwar) menjadi amalan kebanggaan di dalam masyarakat jahiliyah. Adalah menjadi suatu kemegahan kepada seseorang yang kuat kedudukannya dalam masyarakat jahiliyah kalau ia dapat membela atau memberi perlindungan di bawah pengaruhnya.
Dari apa yang berlaku dan dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. itu, menunjukkan kepada kita bahawa dibenarkan kita mengambil kesempatan dari peraturan-peraturan atau amalan-amalan jahiliyah jika sekiranya ia tidak merugikan perjuangan dan tidak menjejaskan dasarnya. Dari sinilah maka gerakan Islam di zaman kini mengambil kesempatan dari sistem demokrasi dan menyertai pilihanraya. Bukan kerana mereka beriman dengan sistem itu tetapi mengambil kesempatan dari peluang yang diizinkan untuk melaksanakan amar makruf dan nahi munkar dan menyampaikan mesej Islam kepada manusia.
Memanfaatkan sesuatu dari seorang kafir tidak bermakna kita turut beriman dengan aqidahnya. Begitu juga, memanfaatkan sesuatu amalan atau peraturan dari sistem jahiliyah, tidak bermakna kita mengiktiraf sistem tersebut apatahlagi dalam keadaan kita terpaksa melakukannya. Apabila kita mengambil seorang pekerja kafir dan memanfaatkannya untuk urusan-urusan kita, tidak bermakna kita mengiktiraf/menyetujui agama atau aqidah anutannya.
Apabila Rasulullah s.a.w. memanfaatkan perlindungan dari bapa saudaranya (Abu Thalib) di Mekah, adakah bermakna baginda mengiktiraf kemusyrikan bapa saudaranya itu? Apabila Rasulullah s.a.w. mengizinkan para sahabatnya untuk berhijrah ke Habsyah bernaung di bawah Raja Habsyah (An-Najasyi) kerana keadilannya, adakah bermakna baginda beriman dengan aqidah kristian Najasyi itu?
Banyak perkara baru yang berlaku dalam dunia hari ini yang memerlukan para ulama' dan pimpinan harakah Islam menetapkan pendirian yang tepat dari sudut siayasah dengan mera'ikan pandangan Syara'.
Amalan pilihanraya adalah kaedah yang diterima-pakai oleh masyarakat dunia hari ini –termasuklah dalam negara-negara umat Islam- untuk menentukan siapakah pemimpin yang akan menerajui negara mereka untuk suatu tempoh tertentu?. Hari ini, sama ada umat Islam menerima atau tidak, pilihanraya apabila tiba masanya tetap akan dilaksanakan dalam negara mereka –oleh pemerintah yang sedia ada- dan wakil-wakil yang dipilih rakyat akan menerajui negara dan kerajaan.
Menetapkan pendirian Syara' dalam sesuatu urusan –apatahlagi yang berkait dengan hal-hal umat dan kemaslahatan mereka- bukan suatu yang mudah. Hanya orang-orang yang pendek aqal sahaja yang cepat/tergesa-gesa membuat keputusan dalam hal-hal yang rumit dan ternyata memerlukan pemerhatian teliti.
Pendirian Syara' tidak boleh dibuat hanya melalui pemerhatian yang rambang dan dangkal terhadap sesuatu masalah. Ia hendaklah dibuat melalui pemerhatian yang teliti, dengan mera'ikan nas-nas Syara', maqasid-maqasid Syari'ah, qaedah-qaedah Syara' dan sebagainya yang menjadi bidang usul Fiqh. Penelitian juga bukan hanya melihat kepada teori-teori di atas kertas sahaja, tetapi juga dengan mengkaji implikasi-implikasi yang bakal diterima umat jika keputusan di ambil untuk menerima atau menolak sesuatu perkara baru itu.
Semenangnya mudah bagi Jama'ah atau Harakah Islam membuat keputusan tidak menyertai pilihanraya dengan alasan; pilihanraya adalah dari sistem Demokrasi dan sistem Demokrasi itu adalah sistem Kafir dan Jahiliyah. Tetapi pastikah kita bahawa memulau pilihanraya itu benar-benar suatu sikap yang akan menguntungkan Islam dan umat Islam pada masa ini dan akan datang?
Sebagaimana dinyatakan tadi bahawa, pilihanraya tetap akan berjalan dalam sebuah negara Demokrasi seperti Malaysia ini. Sama ada Jama'ah Islam melibatkan diri atau memulaukannya, pilihanraya tetap akan dijalankan. Wakil-wakil yang dilantik rakyat akan tetap menguasai negara sama ada kita umat Islam bersetuju atau tidak.
Memulau pilihanraya bermakna memberi kemenangan mudah kepada golongan secular untuk terus menguasai negara dalam keadaan kita mampu memberi saingan dan cabaran kepada mereka. Dalam suasana di Malaysia ini, memulau pilihanraya bererti memberi kemenangan kepada UMNO untuk terus memerintah dengan dasar sekularnya dan meneruskan kezaliman yang biasa dilakukan oleh pemimpin-pemimpinnya ke atas rakyat selama ini.
Apatahlagi dalam sebuah negara bermasyarakat majmu' (yang terdiri dari orang Islam dan bukan Islam) seperti Malaysia, memulau pilihanraya memberi implikasi yang lebih buruk iaitu memberi peluang kepada kaum bukan Islam untuk menguasai politik negara dan menjadi pemimpin ke atas umat Islam sendiri.
Tidakkah akan memudaratkan masa depan Islam dan juga umat Islam jika golongan secular terus memerintah negara atau jika kuasa politik negara diambil alih oleh orang-orang bukan Islam kerana tindakan kita umat Islam memulau pilihanraya?
PAS telah membuktikan bahawa penglibatannya dalam pilihanraya mendatangkan keuntungan yang amat besar kepada Islam dan umat Islam khususnya di bumi Malaysia ini. Kemenangan menawan Kelantan dan Trengganu dalam tahun 1990 dan 1999 telah memberi peluang kepada PAS yang membawa mesej perjuangan Islam untuk memperkenalkan sistem pemerintahan Islam kepada rakyat sehingga rakyat boleh menilainya dan membandingnya dengan sistem pemerintahan secular yang diamalkan UMNO sejak merdeka.
Hari ini, kita melihat bukan sahaja rakyat beragama Islam telah mula celik terhadap kehebatan sistem pemerintahan Islam, bahkan rakyat bukan Islam sedikit-sebanyak sudah dapat menerimanya sebagai suatu sistem yang mendatangkan kebaikan bagi mereka. Bayangkan apa akan terjadi jika PAS menyahut seruan Hizbu Tahrir supaya memulau pilihanraya. Sudah pastinya UMNO yang merupakan sebuah parti secular akan terus selesa memerintah tanpa ada saingan dan tentangan dari saf perjuangan Islam dan tidak mustahil golongan bukan Islam nantinya akan menguasai dan menerajui kepimpinan negara Malaysia.
PAS dengan mandat yang diberikan oleh rakyat untuk memerintah di dua negeri tersebut telah berjaya membuat suatu reformasi ke arah Islam antaranya menguat-kuasakan pengharaman arak, judi dan riba, memperkenalkan hisbah, sistem percukaian al-Kharaj, sistem jenayah Islam (hudud) dan corak kepimpinan Islam yang bersifat adil, telus dan mengikut sepenuhnya peraturan Syara'.
Ketika Hizbu Tahrir masih dalam peringkat membicarakan sistem pemerintahan Islam (al-Khilafah) hanya sebagai suatu teori di dalam buku-buku, majlis-majlis usrah dan majlis-majlis pengajian mereka, PAS telah melaksanakannya secara praktikal di dalam pentadbiran kerajaan dan negeri.
Mafsadah Demokrasi –sebagaimana yang diketahui umum- ialah ia memberi hak yang mutlak kepada pemimpin untuk menggubal undang-undang di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri. Wakil-wakil rakyat yang dilantik melalui proses pilihanraya diberi mandat oleh rakyat untuk meminda atau menggubal undang-undang melalui Parlimen atau Dewan Undangan Negeri tanpa tertakluk kepada ketetapan Syara'. Sama ada sesuatu undang-undang yang digubal itu bercanggah atau tidaknya dengan ketetapan Syara', itu tidak menjadi persoalan asalkan wakil-wakil rakyat yang dipilih menyetujuinya.
Kefasadan tersebut sebenarnya dapat kita atasi jika sekiranya wakil-wakil rakyat yang dipilih adalah dari kalangan orang-orang memahami Islam dan tanggungjawab mereka sebagai pemimpin Islam. Ini bergantung kepada kesedaran rakyat kerana merekalah yang membuat pemilihan semasa pilihanraya. Jadi tugas dan peranan Jama'ah Islam ialah meletakkan seberapa ramai calon-calon yang mempunyai kelayakan mengikut Islam dan menanamkan kesedaran dalam hati rakyat sebagai pengundi supaya membuat pemilihan yang tepat iaitu dengan melihat kepada kepentingan agama dan umat.
Terbukti di Kelantan dan Terengganu apabila rakyat memberi mandat kepada saf kepimpinan ulama' untuk menjadi wakil-wakil mereka di Dewan Undangan Negeri, tidak ada undang-undang yang digubal di Dewan tersebut yang bercanggah dengan Islam. Ini kerana wakil-wakil yang dipilih rakyat itu merupakan orang-orang yang memahami tanggungjawab mereka sebagai seorang muslim dan sebagai pemimpin Islam iaitu melaksanakan hukum-hakam Syari'at Allah, bukan memindanya atau menggubal undang-undang yang bertentangan dengannya.
Apa yang kita sebut di atas hanya beberapa aspek sahaja yang kita tinjau berhubung baik-buruknya penglibatan umat Islam dalam pilihanraya…Kita yakin bahawa Jama'ah Ikhwan, Refah dan Jama'at Islami yang mempunyai barisan ulama' yang berwibawa dan juga PAS yang dipimpin oleh saf kepimpinan ulama', telah membuat tinjaun yang lebih lengkap dan menyeluruh tentang hal tersebut.
Mereka akhirnya memutuskan bahawa perlunya jama'ah-jama'ah Islam di setiap negara –khususnya negara-negara umat Islam- hari ini untuk terlibat dengan pilihanraya dengan meletakkan calon-calon mereka yang memperjuangkan idealisme politik Islam dan menyeru kepada sekelian kaum muslimin supaya keluar mengundi bagi memenangkan calon-calon dari jamaah Islam demi masa depan agama dan umat.
Kita akui bahawa pilihanraya ala Demokrasi hari ini tidaklah bersih secara mutlaknya. Sebagai suatu amalan yang datang dari sistem jahiliyah, ia tentunya mempunyai sedikit-sebanyak mafsadah yang tidak dinafikan akan mengenai kita umat Islam apabila terlibat dengannya. Namun kita juga terpaksa menerima bahawa memulau pilihanraya dalam suasana hari ini akan mendatangkan mafsadah yang lebih buruk lagi kepada masa depan Islam dan nasib umat Islam itu sendiri.
Memulau pilihanraya akan membawa kepada semakin kukuhnya penguasaan golongan secular, berterusannya kemaharajalelaan mereka dan mungkin membawa kepada penguasaan orang-orang bukan Islam ke atas umat Islam (khususnya bagi negara yang masyarakatnya terdiri dari orang-orang Islam dan bukan Islam.
Dalam hal ini Syara' memutuskan bahawa apabila bertembung dua mafsadah di mana salah satu daripadanya terpaksa kita tunggangi, maka hendaklah kita tunggangi mafsadah yang paling ringan. Dalam hal pilihanraya ini, mafsadah yang paling ringan kita akan terima ialah dengan melibatkan diri dalam pilihanraya, kerana memulaukannya mendatangkan mafsadah yang lebih berat/besar. Kaedah Syara' menyatakan:
"Harus untuk mengelak suatu kemudaratan yang lebih besar dengan mengambil kemudaratan yang lebih ringan".
"Apabila bertembung dua mafsadah (di mana salah satu darinya terpaksa dilakukan), maka hendaklah diberi perhatian kepada mafsadah yang lebih besar mudaratnya (untuk dielakkan), dengan dilakukan mafsadah yang lebih ringan".
Perjuangan setempat dan perjuangan sejagat
Hizbu Tahrir dalam pendekatan gerakannya menganggap tidak penting perjuangan Islam yang bersifat tempatan. Bagi mereka perjuangan Islam hendaklah bersifat sejagat sahaja iaitu untuk mengembalikan sistem Khilafah Islam di atas muka dunia ini. Sikap mereka ini terbukti apabila mereka bertindak mengabaikan tanggungjawab mereka di Palestin dan keluar menumpukan perhatian di peringkat antarabangsa.
Di Malaysia, para pendokong-pendokong Hizbu Tahrir memandang ringan jihad menentang UMNO walaupun mereka menyedari kejahatan UMNO sebagai sebuah parti sekular. Dan tidak pelik jika mereka juga memandang ringan jihad umat Islam di Afghanistan, Selatan Filipina, Ambon dan sebagainya menentang kuasa-kuasa kuffar di negara masing-masing.
Para pendokong Hizbu Tahrir telah membawa fikrah perjuangan yang sempit, yang amat memudaratkan masa hadapan Islam jika diterima-pakai fikrah mereka itu. Pendekatan perjuangan mereka jauh berbeza dengan pendekatan perjuangan Ikhwan Muslimun, Jama'at Islami, Refah, PAS dan sebagainya yang bersifat syumul –sebagaimana syumulnya Islam- dan menyeluruh, yang merangkumi perjuangan Islam setempat dan perjuangan Islam sejagat.
| |
| MARANG, 3 Okt: Ijtima' Tarbawi Dewan Pemuda PAS Peringkat Kebangsaan 2010 berakhir hari ini dengan enam deklarasi.
Deklarasi itu antaranya ialah DPPP bertekad untuk memperkasakan tarbiah di kalangan pemuda. "Pemuda mesti memahami semua peringkat tarbiah dalam parti kerana tarbiah merupakan agenda yang paling penting dalam jemaah Islam," kata Azman di majlis penutup ijtima' di Masjid Rusila. Majlis penutup disempurnakan oleh Ahli Parlimen Mesir dari Ikhwan Muslimin, Sheikh Al-Syed Abdul Mas’ud Mohamed Asqar. DPPP turut bersetuju untuk mengukuhkan program usram sebagai asas kepada segala gerak kerja parti. Selain itu, program ijtima' akan dijadikan sebagai program tahunan DPPP sebagai salah satu langkah untuk mengukuhkan tarbiah di kalangan pemuda di semua peringkat. DPPP turut mengulangi pendirian mereka sebelum ini untuk memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan ulama yang merupakan tunjang kepada PAS yang memperjuangkan Islam berdasarkan ajaran al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w. Menurut Azman juga, DPPP berazam untuk membina sahsiah dalam diri setiap pemuda dengan mendalami segala ilmu pengetahuan merangkumi ilmu dunia dan juga ilmu akhirat. Selain itu, DPPP akan menjadikan tarbiah merentasi tanzim iaitu semua gerak kerja parti adalah berorentasikan tarbiah bagi mengukuhkan kekuatan dalaman setiap ahli. Azman dalam pada itu mengucapkan tahniah kepada semua pemuda dan pemudi yang berjaya menghadirkan diri sehingga ke akhir program berkenaan. Kehadiran peserta yang mencecah 5,000 orang disifatkan sebagai kejayaan awal DPPP dalam memobilisasi seluruh pemuda ke setiap program dan gerak kerja. "Saya mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada peserta yang hadir dan istiqamah sehingga berakhirnya program. "Kehadiran peserta ternyata melebihi jumlah yang kita sasarkan dan ini menunjukkan kejayaan awal DPPP dalam menganjurkan program sebegini," katanya. Beliau turut memberitahu, ijtima' pemuda pada tahun hadapan akan diadakan di Pulau Melaka, Kelantan. Sumber : Harakahdaily.net |
DARI SUDUT HUKUM
Jika dilihat dari sudut hukum, jika tindakan warga emas tersebut dibuat atas dasar kononnya wang dipulang kerana ia tidak bersih dan haram, tindakan mereka adalah SALAH lagi terkeliru dengan cakap-cakap orang yang tiada memahami hukum Islam. Ini kerana dari sudut hukum, faqir dan miskin HARUS menerima sebarang sumbangan yang diberikan oleh pihak kerajaan negeri, walaupun diketahui kerajaan negeri mempunyai sumber wang yang HARAM.
Fakta berikut perlu difahami:
1. Wang kerajaan negeri Pulau Pinang ( dan lain-lain tentunya) adalah bercampur.
Para ulama telah membahaskan persoalan penerimaan sumbangan, derma atau menikmati juadah makanan dari individu yang mempunyai pendapatan bercampur antara halal dan haram. Majoriti ulama telah sepakat bahawa selagi mana harta si pemberi itu bercampur selagi itulah kita orang biasa boleh menerima hadiah, sumbangan, derma, menikmati makanan yang disediakan mereka.
Hal yang sama terpakai untuk sesebuah syarikat dan kerajaan, selagi sumber perolehan mereka bercampur, selagi itu HARUS untuk kita menerima gaji atau upah atau apa jua dari kantung mereka, selagi tugas dan cara kita memperolehinya adalah betul. Itu adalah hukum untuk orang biasa, maka jika penerima itu adalah warga yang memerlukan seperti faqir dan miskin, ia sudah tentu jauh lebih jelas KEHARUSANNYA. Malah terdapat dalil yang jelas berkenaan keharusan terbabit. Kes yang sama terpakai untuk kerajaan pusat yang menerima sumber pendapatan dari sumber judi, riba, arak, babi, rumah urut pelacuran dan sebagainya. Selain itu, juga turut menerima sumber halal seperti hasil minyak, jualan komoditi dan sebagainya.
2. Wang itu sendiri tidak najis atau haram pada zatnya.
Wang dan harta hanya dikira haram atau halal pada cara mendapatkannya dan membelanjankannya, ia dinamakan haram dari sudut hukmi bukan ‘hissi'. Ia tidak berpindah dari seorang kepada yang lain. Ia bukan seperti najis yag berpindah apabila disentuh oleh seeorang.
3. Bagaimana jika benar-benar sumbangan dari terus dari kantung wang judi, riba dan rasuah?.
Jika keadaan itu berlaku, ia masih lagi HARUS DITERIMA oleh Faqir, miskin dan digunakan untuk maslahat umum seperti sumbangan warga emas, pembinaan jalanraya, pembersihan dan sebagainya. Itu adalah ijtihad majoriti mazhab silam dan ulama kontemporari. Termasuklah, Majlis Fiqh Antarabangsa OIC, Majlis Fatwa Eropah, Majma Buhuth Mesir[1], Al-Lajnah Al-Daimah, Arab Saudi[2] dan ribuan ulama perseorangan seperti Imam Al-Ghazali, Imam An-Nawawi, Syeikh Al-Qaradawi , Syeikh Az-Zarqa[3], Syeikh Faisal Al-Maulawi dan ramai lagi. Derma bagi wang haram tidak mampu dipulangkan semula kepada tuannya ini hendaklah disedeqahkan kepada orang faqir miskin telah difatwakan harus oleh majoriti mazhab utama Islam ( Hasyiah Ibn ‘Abidin, 6/443 ; Fatawa Ibn Rusyd, 1/632 ; Al-Qawaid, Ibn Rejab, hlm 225 )
PANDANGAN ULAMA MAZHAB
Ulama hanafi menyebut :-
والملك الخبيث سبيله التصدق به, ولو صرف في حاجة نفسه جاز . ثم إن كان غنيا تصدق بمثله
Ertinya : Pemilikan kotor ( haram) jalan keluarnya adalah disedeqahkannya, malah jika pemilik itu seorang faqir), ia bleh mengambil untuk dirinya sendiri, kemudian, jika selepas itu dia menjadi kaya, hendaklah dia mendermakan wang haram (yang pernah diambilnya sewaktu miskin dahulu) ( Al-Ikhtiyar Li Ta'lil al-Mukhtar, 3/61)
Ulama mazhab Maliki seperti Al-Qarafi dan Ad-Dawudi menjelaskan wang haram tidak hanya terhad untuk diberikan kepada faqir dan miskin sahaja tetapi juga apa-apa pembangunan dan kegunaan yang memberi manfaat kepada umum menurut budi bicara dan penilaian pemerintah adil. Jelasnya, mazhab maliki juga setuju faqir, miskin malah warga emas yang memerlukan boleh menerima wang sedemikian tanpa masalah. ( rujuk Al-Dzakhirah, 5/69)
Ulama Mazhab Syafie, Imam An-Nawawi menukilkan kata-kata Imam al-Ghazali yang berkata:
وإذا دفعه - أي المال الحرام- إلى الفقير لا يكون حراماً على الفقير , بل يكون حلالا طيبا
Ertinya : sekiranya wang haram itu diberikan kepada faqir miskin, ia tidaklah haram ke atas faqir ( dan miskin), bahkan ia adalah halal lagi baik untuk mereka. ( Al-Majmu' , 9/428)
Imam A-Ghazzali juga menjawab keraguan beberapa ulama lain :-
وقول القائل: لا نرضى لغيرنا ما لا نرضاه لأنفسنا فهو كذلك ولكنه علينا حرام لاستغنائنا عنه وللفقير حلال إذا حلّه دليل الشرع وإذا اقتضت المصلحة التحليل وجب التحليل
Ertinya : Menjawab kata-kata orang yang berkata : "Kita tidak sepatutnya redha untuk diberikan kepada orang lain sesuatu yang kita tidak redha untuk kita". Memang benar sebegitu, namun dalam kes wang haram yag dimiliki, ia haram ke atas diri kita (pemilik) untuk menggunakannya, namun ia bagi faqir, miskin adalah halal, kerana telah ada dalil syara' yang menghalalkannya dan di ketika wujud kebaikan dari pemberian tersebut (kepada penerima), maka wajiblah diberikan. (Ihya Ulumiddin, 2/212)
Syeikh al-Qaradawi ketika membicara hal pengagihan wang haram berkata :
إذن ما دام هو ليس مالكا له, جاز له أخذه والتصدق به على الفقراء والمساكين أو يتبرع به لمشروع خيري
Ertinya : Oleh itu, selagi wang haram (yang dimiliki seseorang itu tidak diiktiraf oleh syaraa' sebagai miliknya), harus bagi pemegang itu untuk ambilnya dan disedeqahkan kepada faqir miskin atau didermakan kepada projek-projek kebaikan (untuk maslahat umum). ( Fatawa Mu'asiroh, 1/606)
RINGKASAN DALIL
Terdapat banyak sekali dalil yang dijadikan sandaran oleh majoriti ulama, terdiri dari hadis-athar, qiyas dan logik aqal. Antara hujjah yang dipegang bagi mengharuskan ‘derma' wang haram yang tidak diketahui tuannya, cukup sekadar memaklumkan beberapa secara ringkas:-
1. Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq r.a pernah bertaruh (di awal Islam) dengan seorang Musyrik (yang mencabar ketepatan Al-Quran dari surah Ar-Rum ayat pertama dan kedua yang mengisyaratkan kejatuhan Rom) iaitu kerajaan Rom akan tewas. Kemudian apabila Rom benar-benar jatuh, Sayyidina Abu Bakar dikira sebagai pemenang dan telah memperolehi harta pertaruhan itu (ianya haram kerana judi dan tujuan Abu Bakar hanyalah untuk membuktikan kebenaran al-Quran). Apabila Sayyidina Abu Bakar datang kepada Rasulullah s.a.w menceritakan perihal harta perolehan pertaruhan itu, Rasulullah bersabda :
هذا سحت فتصدق به
Ertinya : Ini kotor, sedeqahkan ia. (At-Tirmizi . 16/22 ; At-Tirmizi : Sohih)
Selepas peristiwa ini, barulah turun perintah pengharaman judi secara sepenuhnya sekalipun dengan orang kafir. (Tafsir At-Tabari, 20/16) Kisah ini dengan jelas menunjukkan Nabi tidak mengarahkannya dikembalikan kepada si Kafir, tetapi disedeqahkan untuk tujuan umum dan kebaikan ramai.
2. Selain itu, hujjah utama para ulama dalam hal mendermakan wang haram seperti wang rasuah yang dibawakan oleh Ibn Lutaibah, Nabi meletakkan wang ini di baitul mal dan diagihkan kemudiannya kepada faqir miskin dan kepentingan awam.[4]
3. Terdapat juga athar dari Ibn Mas'ud yang diriwayatkan oleh Al-Bayhaqi 6/188 dan banyak lagi.
KESIMPULAN
- Warga emas, faqir dan miskin di pulau pinang dan mana-mana negeri dan Negara lain, DIHARUSKAN untuk menerima sumbangan dari mana-mana kerajaan negeri, syarikat dan individu selagi mana harta mereka (pemberi sumbangan) itu bercampur antara wang halal dan haram. atau dalam kata lainnya, harta mereka masih ada yang neutral dan halal.
- Sekiranya mereka ingin memulangkan semula wang tersebut, itu juga harus hukumnya. Kerajaan negeri boleh selepas itu memberikan sumbangan dari poket kanan mereka dan wang dipulang itu masuk poket kiri kerajaan. Ia akan jadi sama sebenarnya.
- Sebaiknya penyumbang tidak kira kerajaan, syarikat dan sepertinya; tidak mendedahkan sumber pemerolahan harta yang disumbang agar tidak mengelirukan penerima sebagaimana kes yang berlaku ini
- Mereka juga HARUS untuk menerima wang sumbangan dari penyumbang tadi, walaupun jelas ia adalah dari hasil yang haram seperti judi lumba kuda rasuah, riba dan sebagainya. Tiada kotor pada wang yang diterima oleh mereka, kerana mereka adalah penerima yang diiktiraf oleh syara'. Manakala dosa hasil dari pemerolehan wang itu hanya ditanggung oleh pelaku dosa dan ia tidak merebak kepada penerima dari kalangan faqir miskin dan yang memerlukan.
- Jika dilihat dari sudut hukum dan agama, warga yang menerima sumbangan terbabit TIDAK PERLU SAMA SEKALI memulangkan semula wang yang diterima.
- Namun jika dilihat dari strategi politik pihak tertentu, tindakan tersebut di luar fokus artikel ini.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
30 Sept 2010
Sudah pasti insiden ini tidak akan mematahkan semangat ahli PAS terutamanya pihak Dewan Pemuda PAS Tawau ,malah ianya tambah membangkitkan lagi semangat mereka.Kejadian seperti ini adalah merupakan asam garam dalam perjuangan.Fitnah,mehnah dan tribulasi seolah sudah sebati dalam jiwa anak muda yang cintakan Islam dan bercita-cita untuk menegakkan syiar Islam dengan cara yang dibenarkan oleh syarak dan juga dengan semangat demokrasi yang sekian lama kita dokong bersama.
Oleh bagi pihak Dewan Pemuda PAS dan Badan Penaja PAS Kunak kami sekali lagi ingin menyatakan bahawa walau sehebat manapun dugaan yang terpaksa kami tempuh namun insyaAllah PAS akan tetap bertapak di Kunak..Oleh itu kepada mereka-mereka yang berniat untuk menghalang penubuhan PAS di Kunak kami ingin menasihatkan supaya melupakan hasrat tersebut kerana kami yakin dengan apa yang kami perjuangkan.Ibarat berada dalam perlawanan bolasepak,marilah kita bermain di padang yang sama rata agar kita boleh menguji kemampuan sebenar kita untuk membangunkan negara yang kita cinta ini yang juga menjunjung amalan dan semangat demokrasi sejak sekian lama.
InsyaAllah,Parti Islam Semalaysia ( PAS ) akan menubuhkan cawangannya di Daerah Kunak sedikit masa lagi.Buat permulaannya sebuah Badan Penaja akan ditubuhkan di sana. Gerak kerja ke arah itu sudah dimulakan.Cuma setakat ini mereka yang menguruskan Penaja tersebut masih belum boleh didedahkan untuk mengelakkan mereka diganggu oleh pihak yang tidak bertanggung jawab..Mereka adalah anak tempatan Kunak yang terdiri daripada generasi muda yang punyai potensi untuk menjadi pemimpin...Harapan kami ialah agar ramai lagi penduduk Kunak terutamanya anak-anak muda akan tampil dan menyertai PAS..Kita perlukan satu pasukan yang betul-betul mantap untuk menyaingi UMNO/BN di Kunak. Mari kita wujudkan satu suasana baru dalam membentuk landskap politik terutamanya di Daerah Kunak yang majoriti pengundinya adalah dari kelompok Melayu Islam. InsyaAllah kami di pihak Dewan Pemuda PAS Kawasan Tawau akan mengadakan kempen pendaftaran ahli baru PAS dan pendaftaran Pemilih baru untuk PRU yang ke-13 di daerah Kunak dalam masa terdekat ini.Kerjasama dari parti gabungan dalam Pakatan Rakyat, PKR dan DAP Kunak amatlah diharapkan..

Kepada anak muda kelahiran Kunak yang berada di perantauan,baliklah...kami memerlukan pertolongan anda bagi memantapkan lagi perjuangan PAS di Kunak.Kepada mereka yang masih berada di Kunak samada anda bekerja sendiri,memegang jawatan atau tidak dalam kerajaan,sudah pencen atau sebagainya, sambutlah tangan yang kami hulurkan..PAS tidak akan berkembang di Kunak tanpa pertolongan anda..Kami amat mengharapkan sokongan anda semua.
