Atas permintaan sebilangan teman-teman, dipaparkan artikle lama berkenaan dengan Pilihanraya. Ia lebih kepada menjawab pendapat sebilangan pihak yang mendakwa bahawa Pilihanraya adalah dilarang dalam Islam.


BAHAGIAN PERTAMA : HUJJAH-HUJJAH KEHARUSAN MENGGUNAKAN PILIHANRAYA


1. PILIHANRAYA ADALAH SALAH SATU CARA MEMBERI NASIHAT


Pilihanraya adalah satu jenis daripada penyaksian(الشهادة ), wajib bagi setiap muslim melaksanakannya dengan sebaik-baik perlaksanaan


Dalam hal ini, Dr Yusuf Al-Qardawi pernah berkata;


“Sesungguhnya islam menetapkan bahawa sistem Syura adalah salah satu kaedah dari kaedah-kaedah kehidupan yang di kehendaki oleh Islam. Wajib kepada pemerintah melaksanakannya, di samping mewajibkan kepada rakyatnya bersikap suka nasihat menasihati sesama mereka, sehinggakan nasihat itu menjadi cara hidup keseluruhannya.”


Sabda Rasulullah s.a.w ;


الدين النصيحة


Maksudnya;

"Agama (cara hidup) ialah nasihat”


Di antara perkara yang mesti di serapkan oleh pemimpin kepada rakyatnya ialah berani memberi teguran kepada pemimpin.


Sepertimana melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar itu merupakan fardu yang wajib di laksanakan, begitu juga menyatakan kebenaran di hadapan pemerintah yang zalim merupakan jihad yang wajib di laksanakan.


Apabila kita melihat kepada sistem pilihanraya dan “majoriti suara” yang dilakukan, ia merupakan satu penyaksian(الشهادة ) yang di pandang elok di sisi Islam. Ini kerana dengan perlaksanaannya, usaha untuk membaiki sesebuah negara ke arah perlaksanaan Islam dapat dilakukan. Maka dengan demikian perlaksanaanya adalah wajib dilakukan oleh setiap individu muslim yang berada di negara tersebut.


Firman Allah;


وأشهدوا ذوى عدل منكم


Maksudnya;


“Hendaklah bersaksi dari kalangan orang yang adil.”


(surah at-Talak : 2)


Dari ayat ini, penyaksian itu mesti di lakukan oleh orang yang adil, dengan makna, seseorang yang tidak adil tidak boleh melaksanakannya.


Sebelum perbahasan lebih lanjut, elok kita lihat dahulu definisi adil (العدالة), ianya adalah seperti berikut;


ملكة فى النفس أو هيئة راسخة فيها تمنع صاحبها من ارتكاب كبيرة أو اصرار على صغيرة تدل على الخسة أو مباح يخل بالمروءة.


"Satu sifat semula jadi atau keadaan diri, yang boleh menegah dirinya dari melakukan dosa-dosa besar dan terhindar dari melakukan dosa kecil yang boleh mencacatkan akhlaknya atau melakukan perkara yang harus tetapi boleh mencacatkan maruah diri".[1]


Dari definisi ini, menunjukkan orang yang layak untuk masuk mengundi dalam pilihanraya adalah dari kalangan orang yang tidak melakukan dosa besar dan kecil atau sebagainya, justeru itu, jika di perhatikan kepada rakyat Malaysia, syarat ini tidak di tunaikan oleh mereka.


Oleh itu boleh di katakan ramai dari rakyat Malaysia tidak layak mengundi di sebabkan mereka tidak memenuhi syarat-syarat adil tadi.


Bagi menjawab persoalan ini, seharusnya kita memakai kaedah usul fiqh yang berbunyi;


درء المفاسد مقدم على جلب المصالح


Maksudnya;


Menolak kefasadan lebih di dahulukan berbanding mengambil maslahat.[2]


Dalam hal keadaan ini, membiarkan kerajaan membawa panji kebangsaan merupakan kefasadan yang wajib di buang, ini kerana ianya membawa kepada syirik kepada Allah, adapun mencukupkan syarat merupakan maslahat yang mesti di lakukan oleh setiap pengundi.


Jadinya, berdasarkan kepada kaedah ini, seeloknya kita meringankan syarat ini dan kita berhujjah menyatakan bahawa mengundi dalam pilihanraya adalah satu perkara yang wajib.


Bagi menguat hujjah ini, sabda Rasulullah s.a.w;


من رأى منكم منكرا فليغيره بيده فمن لم يستطع فبلسانه فمن لم يستطع فبقلبه وذلك أضعف الايمان


Maksudnya;


"Barangsiapa dari kalangan kamu melihat kemungkaran maka hendaklah dia tegah dengan tangan, jika tidak mampu, dengan lidah, jika tidak mampu maka dengan benci dalam hati, maka itu adalah selemah-lemah iman".[3]


Hasil dari perbahasan ini, kita akan dapat membuat kesimpulan bahawa mengundi dalam pilihanraya adalah wajib, tetapi dengan syarat, iaitu masuknya pilihanraya dengan tujuan untuk melaksanakan hukum Allah di muka bumi.


Firman Allah;


اقيموا الشهادة لله


Maksudnya;


"laksanakan "syahadah" untuk Allah"(surah At-Talak : 2)


Pada ayat ini menunjukkan perlaksanaan itu bersandarkan kepada kehendak Allah, dengan ungkapan yang lain, perlaksanaan itu berdasarkan untuk melaksanakan hukum Allah di muka bumi.


2. KAEDAH FIQH


Kita menggunakan kaedah usulfiqh yang berbunyi;


ما لا يتم الواجب الا به فهو واجب


Maksudnya;


"Tidak akan sempurna sesuatu yang wajib melainkan melaksanakan sesuatu perkara, maka melaksanakan perkara tersebut adalah wajib".


Misal bagi kaedah ini ialah seperti berikut;


Hukum solat adalah wajib, bagi menyempurnakan solat tersebut adalah mesti berwudu’. Maka hukum berwudu’ adalah wajib.


Jika wudu’ tidak dapat di lakukan melainkan dengan menggali telaga, maka hukum menggali telaga adalah wajib.[4]


Perumpamaan dengan persoalan pilihanraya;


Melaksanakan Islam di muka bumi adalah wajib, lalu tidak ada cara lain untuk melaksanakannya melainkan dengan masuk pilihanraya, maka hukum masuk pilihanraya adalah wajib.


3. PILIHANRAYA ADALAH MEDAN JIHAD


Hujjah ini di kemukakan oleh Al-Fadhil Ustaz Dr Harun Din Al-Hafiz dalam satu tulisan beliau di akhbar harakah keluaran khas[5]


Beliau berhujjah menyatakan bahawa pilihanraya adalah medan tempur yang di panggil jihad juga, ini kerana jihad bermakna menghabiskan segala usaha dan tenaga untuk meletakkan kalimah Allah yang paling tinggi.


Justeru itu, zaman Rasulullah s.a.w mengistiharkan jihad perang kerana pada zaman tersebut pihak musuh menyerang Islam dengan peperangan. Kalaulah pihak musuh tidak melawan dengan senjata, seperti berhujjah, logik atau sebagainya, nescaya Rasulullah s.a.w tidak akan menyuruh umat Islam pada zaman tersebut mengangkat senjata.


Rasulullah s.a.w berperang angkat senjata pada zaman itu kerana pada zaman itu perang angkat senjata adalah satu-satunya cara yang paling relevan untuk melawan musuh.


Melihat kepada keadaan di Malaysia, jihad perang tidak relevan tetapi jihad pilihanraya yang relevan, maka hendaklah kita berjihad di Malaysia menggunakan pilihanraya.


Ini bersesuaian dengan firman Allah;



فمن اعتدى عليكم فاعتدوا عليه بمثله ما اعتدى عليكم


Maksudnya;


"Barangsiapa menyerang kamu maka hendaklah kamu menyerang mereka sepertimana mereka menyerang kamu." (surah al-Baqarah : 194)


Dari ayat ini, musuh politik Islam di Malaysia menggunakan pilihanraya, maka begitu halnya kita melawan mereka menggunakan sistem ini juga.


Justeru itu, pilihanraya adalah sistem pemilihan pemimpin yang relevan khususnya di Malaysia. Ianya juga merupakan jihad mengikut kesesuaian tempat dan masa.


BAHAGIAN KEDUA : KESAMARAN DAN JAWAPANNYA


Ada sebahagian golongan yang mengemukakan hujjah bagi mendatangkan kesamaran terhadap pendokong gerakkan yang menggunakan platform pilihanraya ini, di sini kami kemukakan kesamaran tersebut dan kami menjawab segala kesamaran tersebut. Moga-moga mendapat petunjuk dari Ilahi yang maha Esa.


1. MENGAPA TIDAK MENGGUNAKAN SYURA


Kita mesti kembali kepada asal sunnah iaitu kita melihat cara perlantikan yang di namakan sebagai SYURA.


JAWAPAN


Jika di kaji secara ilmiah, kita akan dapati bahawa perlantikkan khalifah dari kalangan sahabat tidak menunjukkan satu cara yang tetap. Tidak ada satu nas yang jelas (الصارح ) menyatakan bahawa perlantikkan seseorang pemimpin itu berdasarkan kepada sistem syura sahaja, tetapi ada sistem yang lain dari itu, seperti sistem istikhlaf (استخلاف ) iaitu sistem yang di gunakan Saidina Abu Bakar bagi perlantikkan Saidina Omar Ibni Khattab menjadi khalifah[6]


2. IKTIBAR DARI SEJARAH ALGERIA


Sistem pilihanraya tidak akan membawa kejayaan, ini kerana jika di perhatikan suasana yang telah berlaku di Algeria (الجزائر ), yang mana setelah kemenangan telah berbelah pihak kepada parti Islam, lalu kerajaan telah menggulingkan kerajaan Islam dan menggunakan kekuatan tentera bagi merosakkan keputusan pilihanraya tersebut.


JAWAPAN


Sesungguhnya kaedah usulfiqh ada menyatakan seperti berikut;


انما النص من الكتاب و السنة و الاجماع


Maksudnya;


" Sesungguhnya nas itu dari al-Quran, Sunnah dan ijmak."


Jika di perhatikan kepada kaedah ini, jelas kepada kita, bahawa berhujjah dengan mengqiaskan dengan peristiwa di Algeria adalah hujjah yang tertolak, ini kerana qias yang di iktibarkan syarak adalah di sandarkan kepada tiga sandaran sahaja, iaitu al-Quran, Sunnah dan Ijmak.


Kemenangan dan kekalahan adalah lumrah dalam perjuangan, apakah kita berani mengatakan Rasulullah s.a.w tidak mengikut kehendak syarak apabila kalah dalam peperangan Uhud.


Hasil dari ini, hujjah kedua ini tertolak.


3. PILIHANRAYA ADALAH BIDAAH YANG TERCELA


Menggunakan sistem pilihanraya adalah sebahagian dari amalan bidaah yang di larang, berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w;


كل بدعة ضلالة و كل ضلالة فى النار


Maksudnya;


"Tiap-tiap bidaah itu sesat dan tiap-tiap sesat itu akan ke neraka"


Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w menggunakan kalimah (كل ) yang memberi makna “tiap-tiap”. Oleh itu setiap perkara yang tidak di lakukan oleh Rasulullah s.a.w, sahabat, tabiin dan tabi' tabiin di kira sebagai bidaah, termasuklah dalam maksud hadis ini ialah pilihanraya.


JAWAPAN


Kami mahu menjelaskan bahawa bidaah yang diharamkan ialah bidaah dalam persoalan ibadat, ini berdasarkan kaedah usulfiqh yang berbunyi;


الأصل فى العبادة تحريم او بدعة


Maksudnya;


" Asal dalam persoalan ibadat adalah haram"


Dengan makna, setiap amalan yang berbentuk ibadat, jika tidak di ajar oleh syari’ (الشارع) maka amalan itu di kira bidaah.


Kaedah ini merupakan istinbat dari hadis nabi yang berbunyi;


من أحدث فى أمرنا هذا ما ليس منه فهو رد


Maksudnya;


"Barangsiapa yang melakukan sesuatu amalan yang bukan dari ajaran kami, maka amalan itu tertolak"[7].


Adapun dalam persoalan muamalat atau teknik, maka kaedah usulfiqh menyatakan;


الأصل فى الأشياء اباحة


Maksudnya;


"Asal sesuatu itu adalah harus"[8]


Dari kaedah ini, persoalan muamalat atau teknik yang tidak tersebut dalam nas, maka hukumnya adalah harus (boleh di lakukan), seperti kita menggunakan sistem muamalat moden yang tidak ada pada zaman Rasulullah s.a.w, sahabat, tabiin dan tabi' at-tabiin, maka hukumnya harus, seperti sistem muamalat bank yang menggunakan kad kredit atau sebagainya.


Kaedah ini teristinbat dari firman Allah;


الله الذي سخر لكم البحر لتجري الفلك فيه بأمره و لتبتغوا من فضله و لعلكم تشكرون , و سخر لكم ما فى السماوات و الأرض جميعا منه ان فى ذلك لايات لقوم يتفكرون .


Maksudnya;


"Allah lah yang menggerakkan untuk kamu akan lautan supaya kapal boleh berjalan padanya dengan arahanNYA, dan supaya kamu boleh mengambil segala kelebihanNYA dan moga-moga kamu bersyukur, dan Allah lah juga yang menggerakkan untuk kamu segala yang di langit dan segala di bumi, sesungguhnya pada demikian itu menjadi tanda untuk kaum berfikir".(surah al-Jathiah :12-13)


Maka dari itu, pilihanraya tidaklah bidaah, ini kerana pilihanraya adalah persoalan teknik dan cara, bukan persoalan ibadat.

4. PILIHANRAYA ADALAH PERSOALAN AQIDAH


Pilihanraya bukan persoalan muamalat atau teknik, tetapi ianya adalah persoalan aqidah, ini berdasarkan firman Allah;


ان الحكم الا لله


Maksudnya;


Tiada hukum melainkan untuk Allah.(al-Ana'm : 57)


Dalam ayat ini bahawa persoalan perlaksaan hukum adalah mesti dari Allah bukan majoriti seperti yang di laksanakan dalam pilihanraya. Oleh itu, pilihanraya adalah persoalan aqidah, bukan persoalan teknik, muamalat atau furu’


JAWAPAN


Jika itu di hujjahkan, maka kami tetap berada di landasan hujjah, yang mana kami berpegang dengan kaedah usulfiqh iaitu maslahat umum (مصالح المرسلة ), atas keharusan menggunakan sistem pilihanraya dalam pemilihan pemimpin.


Dalil bagi kaedah ini firman Allah;


وما جعل عليكم فى الدين من حرج


Maksudnya;


Dan ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah (surah al-haj : 78)


Dan juga, amalan Saidina Omar semasa beliau menjadi khalifah, yang mana beliau pernah mencurahkan susu yang bercampur dengan air untuk mengajar peniaga susu yang menipu, sedangkan hukum mencurah susu adalah haram kerana ianya membawa kepada membazir, firman Allah.


ان المبذرين كانوا ا خوان الشياطين


Maksudnya;


Sesungguhnya orang yang membazir adalah saudara syaitan. (surah al-Isra' : 27)


Walaupun begitu, Khalifah Saidina Omar mencurahkan susu tersebut dengan tujuan untuk mengajar kepada penjual-penjual susu yang lain, agar tidak melakukan penipuan.[9]


Begitu halnya dalam pilihanraya, jika pilihanraya adalah haram disebabkan ianya menggunakan majoriti dalam menentukan hukum sedangkan penentuan hukum itu hanyalah dari Allah sahaja, bukan majoriti. Tetapi dengan kaedah ini, pilihanraya di bolehkan, ini kerana jika pilihanraya tidak di gunakan, maka tidak ada cara lain untuk kita merampas kekuatan kerajaan dari golongan taghut. Lantaran itu taghut berkuasa di atas muka bumi.


5. KEBENARAN BUKAN DARI SUARA MAJORITI


Pilihanraya adalah صوت الأكثرية أو أغلبية “suara kebanyakkan manusia”. Sedangkan Islam mengajar kepada kita supaya mengikut akan kebenaran tanpa melihat kepada ramai yang menyokongnya. Ini kerana, ada perkara yang benar dari segi syara’ tetapi mempunyai penyokong yang sedikit.


Juga firman Allah dalam al-Quran ;



وان تطع أكثر من فى الأرض يضلونك عن سبيل الله



Maksudnya ;


“Jika kamu taat kepada orang ramai di atas bumi, nescaya mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah”.(al-An'am :116)


Di ayat lain ;


ولكن أكثر الناس لا يعلمون


Maksudnya ;


“Tetapi ramai dari kalangan manusia yang tidak mengetahui”. (al-A'raf : 187)


Ayat lain ;


ولكن أكثر الناس لا يؤمنون


Maksudnya ;


“Tetapi ramai dari kalangan manusia tidak beriman”.(Hud : 17)


Ayat lain ;


بل أكثرهم لا يعقلون


Maksudnya ;


“Bahkan kebanyakkan mereka tidak berakal”(al-Ankabut : 63)


ولكن أكثر الناس لا يشكرون


Maksudnya ;


“Dan tetapi ramai dari kalangan manusia tidak bersyukur”(Al-Baqarah : 243)


JAWAPAN


Perkataan ini ditolak dan berada di landasan yang salah. Dalam perbincangan kita adalah tentang pilihanraya yang didokong oleh mereka yang memperjuangkan Islam, yang mana mereka adalah orang yang bersyukur, beriman dan mengetahui, bukan pilihanraya yang didokong oleh mereka yang melawan Islam.


Sesungguhnya tidak ada تصويت dalam perkara yang berbentuk hukum syarak yang telah qati’I ( قطعيات الشرع ), perkara asasi dalam Islam ( أساسيات الدين ) dan perkara yang telah di kenali dalam Islam secara mesti ( ما علم من الدين بالضرورة ). Bahkan تصويت berlaku kepada perkara yang berbentuk “ijtihadiyyah” yang memungkinkan kepada beberapa pandangan dan pendapat.


Oleh yang demikian, apabila persoalan ini adalah perkara “ijtihadiyyah”, maka mesti ada yang “rajih dan marjuh”. Maka dalam hal, ini pandangan yang rajih adalah pandangan yang ramai. Ini kerana Nabi s.a.w ada menyebut ;


ان الشيطان مع الواحد وهو من الاثنين أبعد


Maksudnya ;


“Sesungguhnya syaitan bersama orang yang bersendirian dan dia akan berjauhan diri dari orang yang berdua”[10]


Juga dari sirah Rasulullah s.a.w, Baginda sendiri menerima pandangan ramai dalam peperangan uhud dan memutuskan untuk keluar menghadapi musuh di luar Bandar Madinah.


Saidina Omar ibnu Al-Khattab juga pernah meminta supaya perinsip menerima pandangan ramai dipakai untuk memilih calon-calon khalifah yang akan menggantikannya[11].


Juga kaedah fiqh ada menyatakan ;


الشاذ كالعدم


Maksudnya ;


“Perkara yang ganjil (sedikit) seperti tiada”


6. AS-SYAIKH OMAR BIN ABDUL RAHMAN


Mereka berkata, “ulama’ yang mula-mula mengeluarkan fatwa atas keharusan menggunakan sistem pilihanraya adalah seorang ulama’ buta dari jemaah Ikhwan Muslimin yang bernama Syaikh Omar bin Abdul Rahman. Beliau mengeluarkan fatwa semasa beliau di dalam penjara pada ketika itu.


Dalam Islam, seseorang mufti tidak boleh mengeluarkan sesuatu fatwa dalam keadaan susah hati, mengantuk, tertekan, atau sebagainya, tetapi Syaikh Omar mengeluarkan fatwa tersebut semasa beliau dalam penjara, ini bermakna beliau dalam tertekan, maka dari itu, fatwa itu adalah tertolak”



JAWAPAN


Kami ingin menolak kesamaran ini dengan dua jawapan;


1- Seperti yang telah maklum, hujjah itu tidak terletak kepada diri individu seseorang, tetapi hujjah yang di terima adalah hujjah yang di sandarkan dari turuqul istidlal (طرق الاستدلال / cara-cara mengambil dalil) yang betul.


2- Walaupun Syaikh Omar mengeluarkan fatwa tersebut dalam penjara, tetapi ramai dari kalangan ulama’-ulama’ yang lain berhujjah menyatakan hukum pilihanraya ini.


Maka setelah di perhatikan kepada hujjah di atas, menunjukkan segala kesamaran yang di kemukakan adalah lemah dan tidak boleh di tarjihkan.


7. PILIHANRAYA ADALAH SISTEM BARAT


Sistem pilihanraya adalah salah satu fikrah yang di ambil dari barat. Oleh yang demikian, mana mungkin mengambil fikrah barat diisikan kedalam sistem Islam. Ini kerana Islam merupakan agama yang telah disyarakkan oleh Allah. Jika fikrah barat di ambil, bermakna, syarak barat pun diterima dalam Islam, sedangkan perkara ini adalah mustahil.


JAWAPAN


Bagi menjawab persoalan ini, kami akan kemukakan dua hujjah.


(1) Sesungguhnya perlaksanaan sistem pilihanraya bukanlah menunjukkan bahawa iktikad kepada fikrah barat, sebaliknya ia hanyalah merupakan wasilah, bukanlah merupakan maksud ataupun matlamat.


(2) Tidak semua perkara yang datang dari barat ditegah, ini kerana berdasarkan kepada sirah menunjukkan Rasulullah s.a.w sendiri pernah mengambil fikrah barat, yang mana ianya adalah seperti berikut ;


(a) Rasulullah menerima fikrah “menggali parit” dalam peperangan Ahzab, sedangkan fikrah menggali parit dalam peperangan adalah fikrah yang datang dari kalangan orang Farsi yang menganut agama majusi.


(b) Rasulullah s.a.w telah menggunakan kepandaian orang musyrik yang ditawan dalam peperangan badar dengan mengajar membaca dan menulis kepada orang Islam yang buta huruf[12]


Oleh yang demikian, tidak semua sistem barat ditegah, bahkan dibenarkan kepada kita mengambil fikrah barat selagi tidak bercanggah dengan nas yang muhkam dan kaedah-kaedah syarak yang thabit.

8. PILIHANRAYA MENOLAK HAKIMIYYAH ALLAH


Pilihanraya adalah fikrah menolak hakimiah Allah حاكمية الله .


Jawapan


Tidak semua pejuang pilihanraya menolak hakimiah Allah, bahkan orang yang menolak dan menafikan hakimiah Allah adalah mereka yang di gelar dengan “Diktator”.


Melihat kepada situasi ini, pejuang Islam yang mengambil sistem pilihanraya, bukanlah menafikan hakimiyyah Allah, bahkan mereka adalah orang yang menggunakan pilihanraya dengan tujuan untuk melaksanakan hakimiyyah Allah, iaitu melaksanakan perinsip-perinsip Islam yang berbentuk siasah dalam memilih pemimpin, melaksanakan amar makruf nahi mungkar dan sebagainya.[13]


9. PILIHANRAYA ADALAH PERSOALAN IJTIHADIYYAH


Adakah “pilihanraya” dari perkara “ijtihadiyyah”?.


JAWAPAN


Sememangnya pilihanraya adalah dari persoalan “ijtihadiyyah”. Ini kerana perkara “ijtihadiyyah” berlaku dengan beberapa sebab, ianya adalah seperti berikut ;


1. Pada perkara yang tiada nas.


2. Perkara yang ada nas, tetapi mempunyai beberapa tafsiran.


3. Mempunyai “muaridh” atau pertentangan yang sama denganya atau lebih kuat darinya.[14]



Pilihanraya adalah dari perkara “ijtihadiyyah”, ini kerana perlantikkan khalifah Abu Bakar, Omar al-Khattab, Othman dan Ali, tidaklah menggunakan satu sistem yang sama. Oleh yang demikian, pelantikan pemimpin adalah persoalan ‘ijtihadiyyah” ini kerana, perkara “ijtihadiyyah” adalah perkara yang tidak mempunyai nas yang tetap dan qati’i.


Begitulah halnya kepada sistem pilihanraya.


10. NAMA YANG DI GUNAKAN OLEH ORANG KAFIR.


Apabila menyebut pilihanraya, maka pendokongnya adalah golongan demokrasi. Sedangkan kalimah “demokrasi” adalah dari kalimah yang digunakan oleh orang kafir, bukan dari Islam.


JAWAPAN.


Nama tidak menjadi punca perselisihan. Ini kerana hukum tidak berlegar kepada nama, tetapi berlegar kepada benda yang dinamakannya المسميات



KESIMPULAN


Setelah kita perhatikan kepada perbahasan di atas, dapatlah kita simpulkan bahawa pilihanraya adalah salah satu cara untuk kita menyampaikan massage dakwah.


Memang kita tidak nafikan bahawa pilihanraya adalah salah satu ideologi barat yang di hantar kepada kebanyakkan negara Islam, tetapi hakikatnya, jika kita tidak menggunakannya, secara logiknya, kita memang tidak mampu untuk menyampaikan dakwah ini. Ini kerana, jika kita menggunakan sistem jihad perang, kita adalah umat yang tidak mampu untuk itu, hal ini beralasan bahawa umat Islam di Malaysia masih tidak memahami jihad perang dengan sebaiknya. Justeru itu, tidak dapat tidak, kita gunakan sistem ini sebagai tanda usaha dakwah kita.


Seperkara yang paling penting bagi kita yang berada dalam gerakan Islam yang menggunakan pilihanraya dalam perjuangan kita, bahawa kita tidak menjadikannya sebagai ghayah, atau matlamat, bahkan kita menjadikan pilihanraya sebagai wasilah (cara) dalam meneruskan agenda menyampaikan dakwah islamiyyah ini.


Jika segala hujjah dan perbahasan ini tidak bertepatan dengan kehendak syara’ maka penulis dengan hati dan jiwa terbuka menerima teguran yang membina. Moga-moga segala usaha ini di terima Allah, menjadi bekalan kita di kala mengadap Allah di alam akhirat.


Wallahu a’alam


Bibliografi


Terjemahan Al-Quran


Muhammad Abdul Maksud Daud ; As-Siraj al-Wahhaj


Darul al-azhar littabaah : 2003.



Harakah keluaran khas (pilihanraya ke 11)


As-Syaikh Abdullah bin Omar bin Sulaiman: Al-Imamah Al-


Uzma : Darul at-taiba linnasyri wa at-tawzik.


Dr Basri bin Ibrahim : Khilafiah, bidaah dan maslahat umum


: darul nu’man 1997


Imam Sayuti : Asybah wan Nazair : al-maktabah at-


taufiqiyyah : tidak bertarikh.



Abd Wahab Khalaf : Ilmu Usul fiqh : maktabah ad-dakwah


al-islamiyyah syabab al-azhar : tidak bertarikh.


Dr Ali Ali Ghazi Tuffahah : Tahwil An-Nuqud : Darul al-


azhar littabaah : 2003


Dr Yusuf al-Qardawi : Fatawa Maasirah : Darul wafa’ : 1994


Dr Atiyyah Saqqar : Al-Fatawa : maktabah at-tawfiqiyyah ;


tanpa tarikh


Dr Abdul Halim Mahmood : fatawa al-Imam Abdul Halim


Mahmood : darul maarif; 2002


Islamonline.net (28/7/03)– Dr Yusuf Al-Qardawi.


Muhammad Nur Manuty : Islam dan Demokrasi dari


perspektif ideolog-odeolog gerakan islam semasa :


CERMASCS : tanpa tarikh.


[1] Lihat kitab "Mughni al-Muhtaj : jld 2 : m/s 427 : Adab al-Qada': m/s 70 : As-Siraj al-Wahhaj : m/s 19"


[2] Lihat buku "Khilafiyyah, Bidaah dan Maslahat umum" M/s 234 : karangan Dr Basri Ibrahim


[3] Hadis Riwayat Muslim dalam "kitab al-Iman": dalam saheh Muslim, daripada Abu Said Al-Khudri.


[4]Sila dengar kuliah Tuan guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, dlam tahun 1997.


[5] Akhbar HARAKAH keluaran khas (Pilihanraya ke 11)


[6] Lihat kitab "Al-Imamah Al-Uzma I'nda Ahli Sunnah Wal Jamaah" m/s 144-157


[7] lihat dalam saheh al-Bukhari.


[8] Lihat kitab "tahwil an-Nuqud": m/s 78-79: karangan Dr Ali Ali Ghazi Tuffahah.


[9] Lihat buku "Khilafiah, bidaah dan Maslahat Umum" m/s 246: karangan Dr Basri Ibrahim.


[10] Hadis Riwayat At-Tarmizi dalam Bab "al-Fitan", daripada omar, hadis ke 2166. Meriwayatkan hadis ini juga oleh al-Hakim (1/114) dan al-Hakim mensahehkan hadis ini mengikut syarat Syaikhian.


[11] Lihat “Islam dan Demokrasi dari perspektif ideolog-ideolog gerakan Islam semasa” m/s 26. karangan Muhammad Nur Manuty.


[12] Lihat Kitab "Fatawa Maasiroh" (2/643) : karangan Dr Yusuf Al-Qardawi


[13] Kebiasaannya, bila dikaitkan dengan pilihanraya, maka ia akan menggambarkan golongan Demokrasi. Demokrasi adalah satu nama yang dikemukakan oleh barat. Tetapi مسمى nya boleh berubah mengikut peredaran zaman dan pertukaran pendokongnya. Oleh yang demikian, tidaklah menjadi satu perkara mustahil, di satu masa nanti, demokrasi yang dipegang oleh pejuang Islam akan bertukar kepada sistem yang bukan demokrasi lagi.


[14] Lihat kitab "Fatawa Maasiroh" (2/649) : karangan Dr Yusuf al-Qardawi.

AMBIL PEDULI!!

Deklarasi 6 Perkara

1 . Memperkasakan tarbiaah dengan melaksanakan program2 tarbiah yang berkesan

2 . Memperkukuhkan USRAH sebagai tunjang tarbiyah

3 . Mengadakan Ijtima Tarbawi secara kelaziman setahun sekali bagi memberi taujihad kepada aktivis muda mengecas padu jihad dan tarbiah

4 . Menyokong dan mendokong kepimpinan ulama' sebagai teras kepimpinan jemaah

5. Membina syakhsiah dan akhlak diri

6 . Menjadikan tarbiah agenda yang merentasi amal jama'e dan ijtima'e.Semua program dan lapisan tanzim berorintasiakn manhaj tarbiah



- disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Azman Sapawi (Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia)

dalam Majlis Salam Wida' Ijtima' 2010

AMBIL PEDULI!

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ رَضِى اللهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:
سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللهُ فِى ظِلِّهِ يَوْمَ لاَظِلَّ إِلاَّ ظِلُّهُ:
إِمَامٌ عَادِلٌ، وَشَابٌ نَشَأ فِي عِبَادَةِ رَبِّهِ، وَرَجَلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِى الْمسَاجِدِ،
وَرَجُلاَنِ تَحَابَّا فِى اللهِ، اجْتَمَعَا عَلَيْهِ وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ،
وَرَجُلٌ دَعَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصِبٍ وَجَمَالٍ فَقَالَ: إِنَّى أخَافُ اللهَ،
وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ فَأخفَاهَا حتَّى لاَ تَعْلَمُ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِيْنُهُ،
وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللهَ خَلِيْلً فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ.

Terjemahan:

Daripada Abi Hurairah (ra) bahwa Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam) bersabda: Ada tujuh golongan yang akan mendapat perlindungan Allah pada hari yang tiada perlindungan kecuali perlindunganNya:

1. Imam (pemimpin) yang adil.
2. Pemuda yang taat kepada Allah sejak kecil.
3. Lelaki yang terpaut hatinya dengan masjid.
4. Dua orang yang saling kasih-mengasihi kerana Allah.
5. Lelaki yang diajak oleh wanita yang mempunyai kedudukan dan cantik, lalu dia berkata: “Aku takut kepada Allah”.
6. Orang yang bersedekah secara sembunyi sehingga tidak mengetahui tangan kirinya apa yang diberi oleh tangan kanannya.
7. Orang yang bermunajat kepada Allah sambil berlinangan air matanya.

[Hadis Sahih Riwayat Bukhari (No. 629) dan Muslim (No. 1031)]


Huraian Al-Hadis:

Di dalam hadis di atas baginda Rasul (sallallahu alaihi wasalam) menjelaskan tentang tujuh golongan manusia yang berada di bawah naungan ‘arasy Allah pada Hari Kiamat. Mereka akan terhindar dari terik panas matahari dan bahangnya ketika di Padang Mahsyar. Merekalah golongan yang akan mendapat kebahagiaan di akhirat kerana memiliki salah satu daripada tujuh sifat di bawah ini:


1. Imam yang adil:

Yang dimaksudkan dengan imam di sini ialah sultan atau hakim atau qadi atau siapa saja yang menjadi pemimpin samada pemimpin ‘am atau pemimpin khas. Adapun yang dimaksudkan dengan adil ialah menghukum dengan adil dan saksama, tidak berdasarkan hawa nafsu dan tidak pula menerima rasuah.

Oleh itu seorang pemimpin mestilah bersih daripada sifat zalim sebab tugas utama para pemimpin adalah untuk membasmi kezaliman. Barangkali inilah yang diisyaratkan oleh Allah dalam ayat berikut:

قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا قَالَ وَمِن ذُرِّيَّتِي قَالَ لاَ يَنَالُ عَهْدِي الظَّالِمِينَ

Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku akan menjadikanmu imam bagi seluruh manusia” Ibrahim berkata: “(Dan saya mohon juga) dari keturunanku”, Allah berfirman: “JanjiKu (ini) tidak mengenai orang-orang yang zalim”. (Al Baqarah 2:124)


2. Pemuda yang taat beribadat kepada Allah sejak kecil:


Remaja yang taat beribadah kepada Allah sejak umur muda lagi. Mereka telah dilatih untuk menghormati hukum-hakam Allah sejak kecil iaitu dengan melaksanakan suruhanNya dan menjauhi laranganNya. Golongan inilah yang boleh diharapkan untuk menjadi pemimpin masa depan yang akan membawa negara ke arah negara makmur yang diredhai Allah (Baldatun thaiyibatun Wa Rabbun Ghafuur).

Allah SWT memuji pemuda-pemuda Ashhaabul Kahfi dalam firmanNya:

إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى

Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk. (Al-Kahfi 18:13)

Dan setelah kita memahami akan hakikat ini maka sangat tepatlah sekiranya pengisian program “Rakan Muda” (dan "Program Latihan Khidmat Negara" serta program-program lain yang melibatkan belia di negara ini-tambahan penulis) lebih mengarah kepada pembentukan muda-mudi yang bertaqwa kepada Allah. Mereka bukan hanya mahir dalam bidang sains dan teknologi tetapi juga patuh dan taat kepada undang-undang Allah.


3. Lelaki yang terpaut hatinya dengan masjid:


Masjid adalah tempat yang paling mulia di atas muka bumi. Sebaliknya tempat yang paling buruk di atas muka bumi adalah pasar. Ini memberi gambaran bahawa orang yang hatinya selalu teringat kepada masjid adalah orang yang soleh. Mereka pastikan setiap hari dapat melakukan solat wajib secara berjamaah. Ini tidak bermakna setiap waktu mereka mesti berada di dalam masjid.

Diriwayatkan bahawa baginda Rasul (sallallahu alaihi wasalam) segera membina pasar Madinah setelah beliau selesai membina masjid Nabawi. Ini memberi gambaran bahawa manusia yang sempurna mestilah membuat keseimbangan antara keperluan jasmani dan rohani. Fungsi masjid bukan hanya untuk beribadat kepada Allah dalam pengertiannya yang khusus tetapi juga berperanan untuk mencerdaskan minda umat melalui majlis ilmunya dan memperkukuh perpaduan umat melalui solat berjamaahnya dan lain-lain lagi.


4. Dua orang yang saling kasih-mengasihi kerana Allah:


Islam adalah agama yang berteraskan cinta kepada Allah dan bersama-sama mengharap keredhaan Allah berdasarkan kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam). Oleh yang demikian, jika persahabatan kita dengan seseorang berdasarkan perinsip itu maka kita akan mendapat kemuliaan di sisi Allah kelak di akhirat.

Sikap saling kasih-mengasihi kerana Allah hendaklah dibuktikan dengan menghidupkan semangat amar ma’ruf nahi munkar terhadap sesama kita. Sifat saling nasihat-menasihati dan saling tegur-menegur kepada kebenaran mestilah diwujudkan untuk bersama-sama mentaati ajaran Allah. (Watawaashau Bil Haq).

Atas dasar ini, kita dilarang oleh agama menjalin persahabatan sesama kita hanya atas dasar kepentingan dunia semata-mata umpamanya menjalin hubungan dengan seseorang hanya ingin mendapat kemudahan duniawi di balik persahabatan itu.


5. Lelaki yang diajak oleh wanita yang mempunyai kedudukan dan cantik, lalu dia berkata: “Aku takut kepada Allah”.

Wanita selalu diperalat oleh syaitan untuk menggugat ketaqwaan seorang lelaki. Lebih-lebih lagi kalau mereka yang mengajak lelaki membuat perkara serong. Sungguh banyak lelaki yang goyah imannya jika mendapat pelawaan tersebut kecuali mereka yang mendapat rahmat dan perlindungan Allah.

Lelaki yang benar-benar takut kepada Allah akan menolak rayuan syaitan betina itu atau sebaliknya, wanita yang benar-benar bertaqwa akan menolak godaan syaitan jantan tersebut. Mereka akan berkata: “Aku takut kepada (azab) Allah”.

Manusia jenis inilah barangkali yang ingin digambarkan oleh Allah SWT melaui kisah Nabi Yusuf dengan perempuan yang dikenali dengan nama Zulaikha:

قَالَ رَبِّ السِّجْنُ أَحَبُّ إِلَيَّ مِمَّا يَدْعُونَنِي إِلَيْهِ
وَإِلاَّ تَصْرِفْ عَنِّي كَيْدَهُنَّ أَصْبُ إِلَيْهِنَّ وَأَكُن مِّنَ الْجَاهِلِينَ


Yusuf berkata: Wahai Tuhanku, penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka kepadaku. Dan jika tidak Engkau hindarkan daripadaku tipu daya mereka, tentu aku akan cenderung untuk (memenuhi keinginan mereka) dan tentulah aku termasuk orang-orang yang bodoh”. (Yusuf 12:33)


6. Orang yang bersedekah secara sembunyi-sembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kanannya.

Rasul (sallallahu alaihi wasalam) menggambarkan manusia yang ikhlas ketika bersedekah seperti tangan kanan. Walaupun jaraknya sangat dekat dengan tangan kiri (manusia) namun dia tidak mengetahui apa yang tangan kanan nafkahkan.

Gambaran ini menyatakan kepada kita bahawa manusia yang ikhlas beramal semata-mata mengharap keredhaan dan ganjaran daripada Allah, bukan sanjungan dan pujian manusia lain. Ini tidak bermakna kita tidak dibolehkan bersedekah secara terang-terangan tetapi bersedekah secara senyap adalah lebih baik daripada terang-terangan sebab ia lebih selamat daripada riya' dan takabbur.

Ini sebagaimana firman Allah:

إِن تُبْدُواْ الصَّدَقَاتِ فَنِعِمَّا هِيَ وَإِن تُخْفُوهَا وَتُؤْتُوهَا الْفُقَرَاء فَهُوَ خَيْرٌ لُّكُمْ

“Jika kamu menampakkan sedekah(mu), maka itu adalah baik. Dan jika kamu menyembunyikannya dan kamu berikan kepada orang-orang fakir, maka menyembunyikannya itu lebih baik bagimu”. (Al-Baqarah 2:271)


7. Orang yang bermunajat kepada Allah sambil berlinangan air matanya.

Rasul (sallallahu alaihi wasalam) menyatakan dalam bahagian ini betapa besarnya ganjaran yang Allah akan berikan kepada orang yang menangis kerana takut kepada azab Allah. Lebih-lebih lagi ketika sujud atau sedang membaca Al-Quran atau ketika berdoa memohon ampun kepada Allah pada dua pertiga malam atas dosa masa silam.

Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam) pernah menggambarkan hakikat ini di dalam hadisnya:

Dua mata yang tidak akan disentuh oleh api neraka, iaitu mata yang menangis kerana takut (azab) Allah dan mata yang berjaga ketika berjihad pada jalan Allah”.

[Hadis Riwayat Tarmidzi]

KENAPA SAYA MENYERTAI PAS


Muqaddimah :
Jawapan kepada persoalan ini adalah suatu perjuangan yang perlu diisytiharkan dengan prinsip dan keyakinan , justeru ia bukan penyertaan politik parti dan kuasa .


Seorang yang beriman wajib berjihad mempertahankan syariat Allah dan memelihara maruah ummah dari ancaman musuh . Parti Islam Semalaysia (PAS) merupakan platform untuk melunaskan tanggungjawab tersebut . Kenapa …


Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. ( Ali - Imraan - 104 )


CIRI - CIRI PLATFORM JIHAD YANG WAJIB DISERTAI .


· Jamaah yang menyakini bahawa Islam adalah satu - satunya kekuatan yang dapat membangunkan semula ummah , juga kembali membebaskan golongan musthad'afin dan menyelamatkan dunia daripada kehancuran


· Jamaah yang lahir dari kesedaran sendiri , tidak dipengaruhi oleh mana - mana pihak samaada timur mahupun barat . Lahirnya kerana tuntutan Al - Quran dan Sunnah .


· Jamaah yang meyakini kesejagatan Islam dan memperjuangkannya secara menyeluruh .


· Jamaah yang memperjuangkan kebenaran secara amali ( tidak hanya teori semata - mata ) dan sanggup terjun ke medan daawah sekalipun mengambil risiko yang tinggi .


· Jamaah yang terdapat padanya keperibadian hizbullah .


Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya. Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah, dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah). Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan rasulnya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada ugama) Allah, itulah yang tetap menang. ( Al Maidah - 54 - 56 )


· Cintakan Allah dan Allah cintakan mereka
· Merendah diri sesama mukmin
· Bersikap tegas terhadap orang - orang kafir
· Berjihad di jalan Allah tanpa takut pada celaan orang yang mencela
· Wala' kapada Allah , rasul dan orang - orang yang beriman
· Mendirikan solat , menunaikan zakat dan senantiasa ruku` kepada Allah.



Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu Syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum ugama; maka turutlah Syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar). ( Al Jathiyaah - 18 )


Saya menyertai PAS kerana ………


1- PAS bersifat Rabbani dan syumul .

Rabbani :


· Islam sebagai dasar perjuangan.
· Bercita - cita menegakkan Daulah Islamiyyah dan melaksanakan hukum -hakam Allah .
· Mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara .


Syumul : [1]


· Memperjuangkan Syariah Islamiyyah yang merangkumi aspek politik , perundangan , hukum , sistem kemasyarakatan , pembangunan , ekonomi , hubungan antarabangsa , akhlak , tentera , pendidikan dan ehwal yang berkaitan dengan keperluan hidup manusia .


· Membentuk tasawwur Islami yang jelas merangkai kehidupan di dunia dengan akhirat .


2- PAS sebagai Harakah Islamiyyah dan parti politik Islam .


· Islam sewajibnya diperjuangkan , pembentukkan Harakah Islamiyyah adalah untuk menunaikan kewajiban tersebut .


· Kuasa politik adalah keperluan asas dan mutlak bagi merealisasikan perundangan Islam dan pembentukkan perlembagaannya .


· Mengambil ruang dalam sistem demokrasi berparlimen yang membenarkan penubuhan parti politik dan aktiviti penerangannya .


· Mengambil pendekatan perjuangan yang selamat dan aman .


;;